TANYALAH pada setiap insan di atas muka bumi ini, siapa saja yang tidak mahu bahagia?
Bahagia itu perasaan yang sangat indah. Rasa yang sangat disenangi oleh semua insan yang bernyawa. Kau, aku dan semua orang lain.
Namun...
Bahagia itu bukanlah sekelip mata mampu dimiliki bak bulan jatuh ke riba. Mustahil sekali. Untuk seseorang jejaki puncak bahagia, percayalah hatinya pernah direnjam dan hancur. Berpuluh-puluh kali hinggakan tidak terbilang rasa pedih yang menghunus sekeping sukma manusia.
Air mata menjadi saksi segala kepedihan yang dilalui. Hati menjadi tempat yang menyimpan segala perasaan yang tak diingini. Dilepaskan sekali, berjuta kali ia kembali dengan pelbagai dugaan yang lain. Disimpan, kelak ia membunuh hati ini semula.
Kekuatan.
Dialah yang dicari. Untuk terus mengatur langkah hatta setapak, diri manusia perlukan kekuatan itu. Yang datangnya dalam pelbagai rupa.
Diri sendiri. Keluarga. Sahabat. Material. Rohani.
Kekuatan bagi setiap orang itu berbeza. Kerana mungkin kekuatan seseorang itu adalah musuh untuk mereka yang lain. Jangan dibilang mudah kerana hakikinya sulit. Untuk raih kekuatan juga, hati ini perlu cekal.
Tidakkah kalian terasa aneh? Hidup yang panjang ini dimulai dengan sekeping hati yang tidak berupa apa-apa. Hati yang kita tidak dapat lihat dan sentuh.
Dalam terma sains, hati didefinisikan sebagai organ homeostasis yang memainkan peranan dalam proses metabolisma manusia dan haiwan. Juga menjadi tugas hati untuk menyimpan glikogen, mensintesis protein plasma, dan menyahtoksik dadah.
Maka... Inikah hati yang kita maksudkan? Yang kita kata perlu teguh untuk melalui kesempitan dan keperitan hidup?
Hakikinya, hati adalah sesuatu yang tidak dapat dizahirkan dengan kata-kata. Ia tidak terlihat dan tidak mempunyai rupa fizikal. Mungkin ini hanyalah tafsiran seseorang, dari sudut pandang mereka. Mungkin ada tafsiran yang berbeza dari warga di luar sana.
Yang penting, semua orang mempunyai hati.
Begitu juga dengan si dia...
Haifa Daliya.
***
Hai semua,
Saya ada keluarkan ebook baru. Jadi di sini saya kongsikan sedikit teaser untuk bacaan percuma. eBook boleh didapatkan melalui pembelian di whatsapp (link di bio) pada jam 9 malam 30 Jun 2022.
Cerita yang heavy. Bukan komedi mahupun romantik. Lebih kepada pengorbanan dan keikhlasan.

Ulasan
Catat Ulasan